ZULHIJJAH: PERISTIWA DAN AMALAN

 

      Alhamdulillah, pada kali ini kita berkesempatan untuk bertemu semula dengan bulan terakhir dalam kalendar Islam iaitu bulan Zuhijjah, di mana bulan tersebut sinonim dengan musim haji dan ibadah korban, bulan ini juga terkenal dengan beberapa peristiwa penting dan ibadah khusus menurut dalil. Selain itu, bulan ini tergolong di antara bulan yang suci ataupun dikenali sebagai bulan haram. Bulan tersebut diharamkan melakukan atau memulakan peperangan, dan segala amalan dibalas berganda-ganda baik amalan yang baik atau buruk.

 




      Dalil berkenaan bulan haram disebutkan dalam hadith riwayat Bukhari dari Abu bakar yang bermaksud:

“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”.

       Dalam 10 hari pertama dalam Zulhijjah, terdapat beberapa amalan yang dilipatgandakan sepanjang waktu tersebut, Dalam hadith riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas r.a berkenaan kelebihan 10 hari dalam bulan Zulhijjah yang bermaksud:

"Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini baginda maksudkan iaitu 10 hari terawal Zulhijjah"

Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?"

Baginda menjawab, "Walaupun jihad di Jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali".

Dan juga hadith lain yang diriwayatkan oleh Ahmad dari Ibnu Umar r.a yang bermaksud:

“Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil,takbir, dan tahmid padaNya.”



       Jadi, beberapa amalan yang kita dianjurkan untuk dilakukan di dalam bulan ini, di mana terdapat beberapa amalan yang tidak dapat dilakukan dalam bulan lain, antaranya ialah:

  • Banyakkan amalan sepanjang 10 hari ini, kerana ianya lebih baik dari sesiapa yang pergi berjihad ke jalan Allah melainkan yang pergi dengan membawa harta dan tidak kembali langsung dengan istilah dia mati semasa berjihad.
    Antara amalan yang kita dapat lakukan ialah berpuasa, berzikir, mengikuti majlis ilmu, Qiamullail, dan lain-lain.
    Dan juga kepada para huffaz, banyakkan masa dengan al-Quran dengan talaqqi, murajaah ataupun cari modal, dan juga toliban ilmun, be serious dalam menuntut ilmu, walaupun belajar subjek bukan agama di sekolah, banyak ganjaran yang dapat dilaburkan sementara kita berada di dunia.

  • Puasa 10 hari pada awal Zulhijjah, di mana walaupun mempunyai dalil yang dhaif berkenaan puasa ini dan juga terdapat hadith sahih berkenaan sahabat tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa 10 hari.
    Namun, ada sahabat yang mengamalkannya seperti Ibnu Umar, dan juga disebabkan kita dianjurkan perbanyakkan amalan sepanjang 10 hari ini dengan berpuasa, berzikir, dan lain-lain.
    Kalau puasa pula, sekadar 9 hari sahaja yang kita perlu kerjakan kerana hari ke-10 itu ialah hari raya korban atau Aidiladha, di mana haram berpuasa pada hari tersebut. Jadi, apa salahnya kita berpuasa, namun tidak menanggap ianya sebagai sunnah.

  • Puasa hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Bagi sesiapa yang tidak mengerjakan ibadah haji, digalakkan untuk mengerjakan puasa sunat ini. Kelebihan berpuasa pada hari tersebut sangat bernilai, kerana dosa diampunkan jika berpuasa pada hari tersebut sebagaimana dalam hadith sahih riwayat Muslim dari Abi Qatadah apabila Rasulullah ditanya berkenaan Puasa Arafah lalu baginda menjawab;
    “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”.

  • Bagi sesiapa yang berkemampuan, laksanakanlah ibadah korban.Antara haiwan ternakan yang boleh dijadikan untuk ibadah korban ialah kambing, lembu, kerbau, unta.
    Kalau tak mampu korban seekor haiwan, cukup sekadar korbankan satu bahagian, ataupun boleh juga korbankan seekor ayam. Seeloknya pilih haiwan yang gemuk berisi untuk dikorbankan, supaya dapat diagihkan lebih banyak kepada yang memerlukan.Boleh juga sertai untuk korban di luar negara, tetapi afdhal sekiranya dijalankan di dalam negara kita.

  • Dan satu lagi, kepada sesiapa yang menyertai ibadah korban, dilarang mencabut, memotong kuku, rambut, bulu di badan bermula dari 1 Zulhijjah sehingga tarikh ibadah korban. 

  • Ibadah Haji dan Umrah, kerana sesiapa mengerjakan haji dengan haji yang mabrur, tidak lain tidak bukan ganjarannya ialah syurga. 
    Tapi sebab PKP, hanya yang terpilih sahaja yang dapat laksanakannya.

  • Beberapa amalan lain yang terdapat di dalam bulan tasyrik.

    Bulan Zulhijjah juga terdapat beberapa peristiwa menarik, di mana ada yang berkaitan dengan kefardhuan satu ibadah, dan lain-lain. Antaranya ialah peristiwa Nabi Ismail a.s yang dikorbankan atas perintah Allah. Nabi Ibrahim mendapat perintah dari Allah supaya anaknya dikorbankan, dan nabi Ismail bersedia dengan penuh ketaatan tanpa bantahan melaksanakan ibadah korban yang diperintahkan oleh Allah. Dan semasa baginda hendak memotong, mendapati bahawa pisau tersebut tidak dapat dipotong, ataupun dihalang oleh batu menurut cerita lain. Dengan itu, Allah turunkan seekor “qibas” atau dikatakan sebagai biri-biri sebagai ganti untuk dikorbankan. Pengorbanan bapa dan anak ini membuktikan ketaatannya akan perintah Allah SWT lalu diabadikan dalam sejarah umat Islam menjadi ibadah sembelihan korban yang saban tahun diadakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

   
     Selain dari itu, peristiwa perjanjian Aqabah kedua berlaku pada 13 Zulhijjah tahun ke-13 kenabian. Perjanjian tersebut dibai’ah seramai 73 orang lelaki dan 2 wanita dari Yathrib (Madinah) dan antara isi perjanjian tersebut ialah Kemudian orang-orang Yatsrib itu membaiat Muhammad. Isi baiatnya adalah untuk mendengar dan taat, baik dalam perkara yang mereka sukai maupun yang mereka benci, berinfak baik dalam keadaan sempit maupun lapang. Laksanakan amar makruf nahi munkar, tidak terpengaruh dengan segala celaan atau orang yang mencela di jalan Allah, dan sedia melindungi Rasulullah sebagaimana mereka melindungi wanita dan anak mereka.

     Persitiwa yang tidak dapat dilupakan oleh semua umat Islam juga ialah di mana baginda Rasulullah melaksanakan ibadah haji yang terakhir ataupun Haji wida, dan pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di lembah Uranah, Baginda menyampaikan khutbah terakhirnya yang berupa nasihat, dan suruhan untuk bertaqwa kepada Allah. Untuk teks khutbah: Menghayati Khutbah Terakhir Rasulullah SAW – Radio IKIM (ikimfm.my)

     Dalam bulan ini juga menyaksikan kewafatan beberapa sahabat dan orang-orang yang soleh, antaranya ialah Saidina Umar wafat pada 26 Zulhijjah 13H kerana ditikam oleh Abu Lu’luah yang beragama Majusi ketika Solat Subuh beberapa hari sebelum itu. Saidina Uthman juga wafat pada 18 Zulhijjah 35H oleh pemberontak semasa membaca al-Quran di rumahnya. Ulama melayu kita, Sheikh Sayyid Abdul Rahman Bin Mohammad al-Idrus atau Tokku Paloh, wafat pada 1 Zulhijjah 1336H pada usia 101/102 tahun.

     Dan beberapa peristiwa lain yang berlaku dalam bulan Zulhijjah, di mana terdapat banyak lagi peristiwa yang tidak dapat disebut. Ada di antaranya peperangan, kewafatan dan kelahiran seseorang dan lain-lain, dan apa yang dapat di highlight kan dalam ini setakat yang tahu dan umum sahaja.

     Jadi kesimpulannya, alang-alang PKP ni semua buat di rumah, mari kita tingkatkan ibadah kita sepanjang bulan ini terutama pada 10 hari yang awal. Bagi sesiapa yang tidak dapat menyaksikan ibadah korban, cukup sekadar hantar nama sebagai peserta korban baik dalam kawasan kariah mahupun luar negara. Walaubagaimanapun, jangan sekadar dalam 10 hari tu sahaja kita semangat, lebih baik kita bersemangat pada bulan lain.

Akhi Lebai
1 Zulhijjah 1442/ 11 Jul 2021
Di Rumah

Sumber rujukan:

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - Irsyad al-Hadith Siri ke-46: Bulan haram dan kelebihan yang ada padanya (muftiwp.gov.my)

Menghayati Khutbah Terakhir Rasulullah SAW – Radio IKIM (ikimfm.my)

14 Peristiwa Penting Yang Berlaku Sepanjang Bulan Zulhijjah (tzkrh.com)

Puasa Arafah penghapus dosa (hmetro.com.my)

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-401: HADITH PALSU KELEBIHAN BERPUASA 10 HARI AWAL BULAN ZULHIJJAH (muftiwp.gov.my)

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - BAYAN LI AL-HAJ SIRI KE-32 : KEISTIMEWAAN DAN FADHILAT 10 AWAL ZULHIJJAH : MARILAH KITA BERAMAL (muftiwp.gov.my)

Berkat bulan Zulhijah (hmetro.com.my)

Gandakan amalan pada 10 awal Zulhijah - Utusan Digital

Nama penuh beliau ialah... - NASAB TOKKU PALOH Al-Idrus | Facebook






Comments