REJAB: PERSEDIAAN MENUJU RAMADHAN

 

      Bulan Rejab merupakan antara bulan yang terdapat dalam kalendar Islam selepas Jamadil Akhir. Ia juga antara 4 bulan yang haram di mana pada bulan itu haram dilakukan segala peperangan dan juga bulan yang suci selain dari bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram.

 

      Beberapa peristiwa yang berlaku dalam bulan ini. Antaranya ialah peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab tahun ke-12 kenabian di mana perjalanan Rasulullah dari Mekah ke Baitulmaqdis seterusnya ke Sidratul Muntaha, tempat paling tertinggi yang baginda seorang sahaja boleh sampai. Dalam masa yang sama, ibadah Solat diperintahkan dan satu-satunya perintah Allah kepada Rasulullah secara terus tanpa ada perantaraan Jibril a.s. Selain itu, khulafa’ ar-Rasyidin Ali bin Abu Talib dilahirkan pada bulan Rejab dan juga kemenangan tentera Islam dalam perang Khaibar. Dan peristiwa yang menyedihkan bagi seluruh umat Islam pada ketika itu ialah terjatuhnya Khalifah Uthmaniah di mana kuasa besar Islam yang bertahan selama ratusan tahun akhirnya tumbang pada 28 Rejab 1342 Hijrah bersamaan 3 Mac 1924 oleh Mustafa Kamal Ataturk laknatullah dan disokong oleh barat. Dan banyak lagi peristiwa lain yang berlaku dalam bulan Rejab.


      Rejab juga sinonim dengan beberapa dalil yang dhaif. Antara yang paling biasa didengari ialah hadith bulan Rejab ialah bulan Allah, Sya’ban bulan Rasulullah dan juga Ramadhan bulan Umat Rasulullah, tetapi periwayatan untuk hadith ini ialah palsu. Selain itu, doa yang kebiasaannya dibaca ketika masuknya Rejab. Sya’ban dan Ramadhan juga sanadnya dhaif, tetapi tidak mengapa mengamalkan doa tersebut cuma tidak perlu sandarkan kepada Rasulullah. Berpuasa tiga bulan berturut-turut yang kebiasaannya diamalkan sesetengah orang juga tiada dalil yang khusus, tetapi ianya diamalkan oleh para solihin.

      Walaubagaimanapun, amalan baik yang dilakukan dalam bulan haram kebiasaannya digandakan ganjaran pahala dan setiap kezaliman yang dilakukan juga digandakan balasan dosa sebagaimana yang diceritakan dalam Tafsir Ibnu Kathir.

       Tetapi, Rejab juga dikatakan sebagai persediaan untuk menghadapi Ramadhan. Apa yang ana pernah dengar dari beberapa rakan di Arab ataupun penceramah yang mengatakan suasana Ramadhan di kawasan Arab seperti Mesir, Saudi dan beberapa yang lain kebiasaanya dimulakan 3 atau 4 bulan sebelum masuknya bulan mulia itu. Para solihin juga mereka persiapkan sejak waktu itu lagi. Kebiasaannya persedian dilakukan dengan memperbanyakkan amalan sunat yang juga dijadikan latihan dan selain itu, masjid, surau dan juga sekolah telah membuka tabung sumbangan untuk ihya’ Ramadhan bagi menyediakan juadah iftar, moreh, sumbangan kepada yang memerlukan dan juga lain-lain bagi memeriahkan lagi bulan mulia ini.

Antara latihan persediaan, amalan yang dapat dilakukan dalam bulan Rejab ialah:

    -  Melatih diri untuk bangkit awal pagi untuk mengerjakan solat Tahajjud. Mulakan dahulu dengan bangun 15 minit sebelum waktu Imsak ataupun setengah jam sebelumnya, seterusnya mengerjakan 2 rakaat solat sunat Tahajjud. Bila sudah mampu, tingkatkan lagi dengan 4 rakaat seterusnya selitkan lagi solat-solat sunat lain seperti solat sunat Taubat, Hajat, Istikharah, Witir dan Tasbih. Selain itu, pada waktu itu juga perbanyakkan zikir, membaca al-Quran dan beberapa ibadah lain yang dapat dilakukan pada waktu Qiyamullail.


    - Banyakkan puasa sunat dengan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dalam seminggu, ataupun salah satu hari yang mana mampu sebagai permulaan. Bila sudah mampu, tingkatkan lagi dengan berpuasa dua hari berikut dalam seminggu, dan boleh juga tingkatkan lagi dengan berpuasa pada hari putih iaitu pada 13, 14, 15 haribulan dalam bulan Islam, ataupun puasa sunat nabi Daud iaitu berpuasa selang sehari dengan puasa hari ini dan keesokannya tidak berpuasa dan begitulah seterusnya, ataupun berpuasa 3 bulan sekali gus, ataupun yang mana satu kita mampu lakukannya.

Ok, berkenaan berpuasa 3 bulan sekali gus, walaupun tiada dalil berkenaan amalan tersebut tetapi ia dilakukan oleh para solihin dan ianya tidak bercanggah dalam Islam, tidak mengapa jika diamalkan selagi mana dia mampu untuk melakukannya dengan tidak menganggap bahawa ia adalah sunnah.


    - Mempelajari al-Quran dengan perelokkan bacaan ataupun tahsin dan mempelajari asas hukum tajwid. Seeloknya belajar berguru secara face-2-face ataupun video call asalkan guru tersebut dapat mendengar bacaan kita dan menegur jika ada kesilapan. Boleh sahaja belajar ikut facebook live, cuma tak dapatlah cara berguru tu. Sangat rugi kalau baca al-Quran tetapi merangkak, tidak ikut hukum tajwid ditambah lagi tak nak belajar. Membaca al-Quran sudah tentu dapat pahala tetapi kalau bacaan kurang cantik tu, yang kita dapat tu kuranglah cantiknya melainkan kita usaha untuk betulkannya.


    - Belajar juga untuk hafal al-Quran dengan menghafal surah-surah pendek dalam juzuk 30, dan seeloknya berguru supaya ada orang dapat pantau bacaan kita. Selain itu, mentadabbur ataupun memahami isi kandungan ayat al-Quran dengan membaca terjemahannya, seterusnya mengikuti perkongsian ilmu berkenaan al-Quran secara live ataupun di kuliah masjid.


   -  Banyakkan juga melakukan amalan umum sunat yang lain seperti bersedekah, berzikir, dan menuntut ilmu.


       Jadi, sama-samalah kita perbanyakkan amalan dalam bulan ini, ditambah lagi dengan musim PKP yang telah memberi banyak masa dan ruang untuk dekatkan diri dengan Allah. Walaubagaimanapun, jangan buat sekadar dalam bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan sahaja tetapi masuk je bulan lain, jadi seperti biasa. Jangan begitu, selagi mana ada masa, buatlah setakat mana yang dapat. Juga nasihat buat penulis yang selalu kongsi tetapi kadang-kadang tak buat. Harap Allah pertemukan kita dengan bulan Ramadhan yang mulia nanti dengan persediaan yang telah kita lakukan.


Akhi Lebai
17.2.2021
5 Rejab 1442H
Tengah kuarantin di sekolah sebab exam.

Comments